Sayangi Bumi

Kemarau Mengancam Nyawa

Musim panas yang berpanjangan selalu dikaitkan dengan musim kemarau. Kemarau akan mengakibatkan pelbagai masalah dan kerosakan. Ruangan Cintailah Alam Sekitar ingin berkongsi dengan anda tentang kesan yang dibawa oleh kemarau.

Apa itu kemarau?
------------------
Kemarau ialah suatu keadaan apabila air yang terkandung di dalam tanah berkurangan. Biasanya, kemarau berlaku apabila lebih banyak air dikeluarkan dari tanah tersebut. Ini disebabkan contohnya tiada turunnya hujan untuk beberapa ketika dan penggunaan terlalu banyak air oleh manusia untuk kegiatan seharian mereka.

 

Image 6

                                                          Sumber gambar: Google
Punca kemarau
----------------
o    Kegiatan manusia menebang hutan secara berleluasa akan mengurangkan kawasan tumbuh-tumbuhan. Kesannya, semakin kurang kelembapan dilepaskan oleh tumbuh-tumbuhan ke udara. Udara yang kurang lembap tidak akan membawa hujan dan kemarau pun berlaku.

O    Apabila berlakunya faktor-faktor di atas, secara tidak langsung telah menyebabkan berlakunya peningkatan suhu kepada bumi.

O    Kesan dan bahang pemanasan global juga telah mengganggu sistem cuaca dan iklim di negara kita secara tidak langsung. Iklim Khatulistiwa dengan panas dan lembap sepanjang tahun tidak berada pada paras yang normal lagi akibat berlakunya peningkatan suhu ini.

Kesan kemarau
---------------
*  Kehilangan pertumbuhan ekonomi negara, melambatkan pembangunan ekonomi
*  Kerosakan kepada kualiti tanaman, kurang pengeluaran makanan
*  Kenaikan harga makanan
*  Peningkatan pengimportan makanan (kos yang lebih tinggi)
*  Kerugian daripada pengeluaran tenusu dan ternakan
*  Ketiadaan air dan makanan untuk ternakan yang membawa kepada kadar     
   kematian tinggi pada ternakan
*  Kerosakan kepada habitat ikan, kerugian daripada pengeluaran perikanan
*  Kerugian pendapatan bagi petani dan pihak lain yang terlibat
*  Kerugian kepada industri rekreasi dan pelancongan
*  Kehilangan kuasa hidroelektrik
*  Kerosakan kepada spesies tumbuhan
*  Tekanan mental dan fizikal
*  Kehilangan nyawa akibat kekurangan air dan makanan
                       

 

Image 5

 

 

JIMAT ELEKTRIK!
      
Satu ketika dulu kita pernah dikejutkan dengan isu kenaikan tarif elektrik yang berkuatkuasa serta-merta dan sedikit sebanyak meningkat kos pembayaran kadar elektrik untuk setiap isi rumah. Ini berlaku akibat daripada kenaikan harga bahan api dunia. Bahan api dan tenaga berkait rapat antara satu sama lain kerana pengeluaran tenaga yang bergantung, terutamanya kepada bahan api fosil.

 

     Peningkatan harga bahan api akan menyebabkan peningkatan kos elektrik. Bagi kebanyakan pengguna, sumber tenaga yang paling banyak digunakan di dalam dan di sekeliling sekolah, rumah atau pejabat mereka adalah tenaga elektrik.

      Tahukah anda, gaya hidup yang membazir telah dikenal pasti sebagai salah satu sebab yang menyebabkan peningkatan penggunaan tenaga elektrik per kapita. Pemilihan alat elektrik dan reka bentuk sekolah, rumah atau pejabat juga akan menyumbang terhadap keadaan ini. Mahu atau tidak.. kita semua perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan bersedia mengambil insentif sendiri untuk berusaha menjimatkan bil elektrik di rumah.


 

Bagaimana anda boleh menjimatkan bil elektrik?

1.    Anda digalakkan menggunakan elektrik secara cekap. Sebagai contoh, anda boleh menggunakan lampu dan peralatan elektrik yang lebih cekap tenaga.

2.    Peralatan yang berkadaran kuasa tinggi seperti pemanas, pendingin hawa dan motor industri haruslah digunakan secara berhemah untuk menjimatkan tenaga.

3.    Kita hendaklah bertukar kepada peralatan-peralatan yang mempunyai kecekapan tenaga yang tinggi, misalnya mentol lampu dan sebagainya.

4.    Tutup peralatan elektrik apabila tidak digunakan, dan bukannya meletakkannya pada mode "standby". Demikian juga apabila keluar bilik, tutup dahulu lampu dan kipas.

5.    Apabila menggosok baju misalnya, jangan gosok hanya sehelai, sebaliknya gosoklah banyak helai sekaligus.

6.    Jangan kerap membuka atau menutup suis lampu dan peralatan elektrik. Setiap kali anda menutup atau membukanya semula, kuasa elektrik yang digunakan akan menjadi tinggi.

 

BERFIKIR DAHULU SEBELUM MAKAN MAKANAN LAUT     

 

Lautan merupakan satu anugerah tuhan kepada manusia yang tidak terperi indahnya dan tidak tercapai dek akal akan kewujudannya. Begitu juga dengan hidupan di dalamnya yang sehingga kini masih kekal sebagai satu misteri besar dalam kehidupan manusia.

 

    Tahukan anda, hampir 45kg hasil laut secara puratanya dimakan oleh setiap rakyat Malaysia setahun, ia menjadikan rakyat Malaysia sebagai pengguna hasil laut yang tertinggi di Asia Tenggara dan hanya di belakang negara Jepun di benua Asia ini.

 

Image 3

 

     Melihat senario ini, pelbagai usaha yang dilakukan oleh pihak-pihak NGO untuk meningkatkan kesedaran akan kewujudan masalah ini, antaranya ialah seperti yang dijalankan oleh Dana Hidup Liar Dunia (World Wildlife Fund, WWF) Malaysia dan Persatuan Pencinta Alam (Malaysia Nature Society, MNS) yang telah melancarkan program 'Selamatkan Hasil Laut Kita'. Melalui kempen kesedaran ini, mereka juga telah memperkenalkan satu panduan hasil laut untuk para pengguna Malaysia untuk mengelakkan mana-mana hasil laut yang semakin berkurangan.

 

    Pakar-pakar saintis dunia meramalkan bahawa sekiranya ekploitasi hasil laut masih dijalankan secara berleluasa, maka dalam tempoh 40 tahun daripada sekarang, hasil laut dunia akan mengalami masalah kepupusan yang kronik. Menurut kajian yang dijalankan, penggunaan hasil laut negara kita akan meningkat kepada 50kg setiap seorang dalam tempoh terdekat pada masa hadapan.

 

     Oleh itu, pelbagai usaha dijalankan bagi menekankan bahawa ekploitasi hasil laut secara berlebihan dan tidak lestari telah berlaku di Malaysia. Ini perlu dijalankan dengan serius oleh semua pihak untuk menangani pasaran hasil laut yang berkembang pesat sejak tahun 1980-an lagi. Sekiranya keadaan ini tidak berubah, negara kita bakal menghadapi kekurangan hasil laut.

 

     Pada masa ini, negara kita mempunyai 12,000 orang nelayan dan penternak ikan, dengan tangkapan hasil laut sebanyak 1.65 juta ton yang bernilai sebanyak RM5.8 bilion. Melalui soal selidik yang telah dijalankan, dua pertiga daripada responden akan mengurangkan atau berhenti memakan hasil laut sekiranya stok hasil laut menurun. Manakala hanya satu pertiga orang yang tahu bahawa stok hasil laut telah menurun secara mendadak.

 

     Kita ketahui bahawa sememangnya rakyat Malaysia gemar dan suka makan makanan daripada hasil laut.  Namun sebelum makan, buatlah pilihan yang wajar dengan mengelakkan daripada memakan hasil laut yang semakin pupus. Melihat kepada kepentingan hidupan laut ini pastinya membuat kita terfikir apa perlunya manusia terlalu membazir dengan mengikut nafsu serakah mereka. Kepupusan ataupun kehilangan spesies hidupan laut ini bermakna kita juga kehilangan produktiviti dan kestabilan keseluruhan ekosistem. Ia sangat mengejutkan bagaimana trend ini berlaku di luar jangkaan kita.

 

SAYANGI ALAM SEKITAR KITA!


Bumi kita semakin 'sakit'. Pelepasan gas rumah kaca, pencemaran air dan udara, meningkatnya penggunaan tenaga dan kehilangan mendadak sumber alam semula jadi, kesemuanya benar-benar menggugat alam sekitar dan ekosistem bumi kita. Bumi kita sudah tidak dapat lagi menampung kesemua ini, jika kita tidak melakukan sesuatu.
Dengarlah 'jeritan' bumi kita! Lakukan sesuatu SEKARANG!

 

                            Image 1
       

                                                            Sumber gambar: Google

 

Apa yang Dapat Kita Lakukan?

Ya, mulai saat ini, ubahlah sikap kita semua. Ambillah langkah berikut untuk mengurangkan pembuangan sisa!

  • Jangan timbunkan lagi sampah-sarap!


Kitar semula! Asingkan kertas, plastik, logam, kaca dan karton aseptik untuk dikitar semula. Jika anda tidak dapat memasukkannya di pusat kitar semula, asingkan kesemuanya dan biarkan sahaja dalam tong sampah di luar rumah, untuk dipungut. Kitar semula menyelamatkan landskap daripada sampah, mengurangkan penggunaan tenaga dan bahan mentah, dan mencegah pengeluaran gas metana yang terhasil daripada sampah yang mereput.

 

  • Jadikan sisa dapur dan taman sebagai baja kompos!


Kembalikan zat, atau nutrien dan tenaga yang ada di dalam lebihan makanan dan sisa rumput dari taman, ke bumi, bukan membuangkannya ke tapak pelupusan sampah. Ini dapat dilakukan dengan menggali lubang dan menimbuskannya untuk dijadikan baja kompos.

                                            Image 2

 

                                                                     Sumber gambar: Google

 

 

  • Jangan membazir walau sedikit pun!


Anda boleh mengitar semula semua sampah-sarap yang berbentuk bukan organik dan membuat baja kompos pada lebih sayuran, ikan dan makanan lain. Ini bermakna, setiap sisa yang ada di dalam rumah anda itu, ada gunanya!

  • Belilah barangan kitar semula!


Setelah mengitar semula sampah-sarap, tiada gunanya jika anda pula tidak mahu menggunakan produk atau barangan yang sudah dikitar semula, misalnya gunakan kertas kitar semula untuk membalut barang; bawa beg kitar semula ke pasar atau pasar raya; gunakan baja kompos bukannya baja kimia; dan sebagainya. Barulah tandanya anda menyokong kempen kitar semula!


TAHUKAH ANDA?

* Kajian mendedahkan bahawa 80% daripada apa yang kita ada, tidak berguna dan tidak diperlukan sebenarnya. Oleh itu, jangan tambahkan lagi pembaziran ini. Prihatinlah kepada alam sekitar dan amalkan 3R - Reduce (Kurangkan), Reuse (Gunakan Semula), dan Recycle (Kitar Semula).


Log masuk ke Rakan Kuntum



Belum jadi Rakan Kuntum?