Amalan Baik

UTAMAKAN SIKAP BERTOLAK ANSUR

 

 

Dalam kehidupan seharian, kita tidak boleh lari daripada melakukan kesalahan dan kesilapan sama ada secara sedar ataupun tidak. Sikap tolak ansur dan saling menghormati mampu untuk mengelakkan diri kita daripada melakukan kesalahan ini secara berterusan.

 

        Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), tolak ansur bermaksud saling memberi dan menerima. Sikap ini lahir dalam diri setiap individu untuk mengawal diri dan tingkah laku masing-masing. Kita tidak boleh bersikap pentingkan diri sendiri tanpa memikirkan kesannya terhadap orang lain, keluarga, masyarakat dan negara.

 

      Hubungan antara masyarakat berbilang kaum seperti kaum Melayu, Cina dan India ini terjalin erat dan membentuk masyarakat yang bersatu padu. Setiap individu itu haruslah mengamalkan sikap tolak ansur dan saling sayang menyayangi antara satu sama lain.

 

      Bagi mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negara, setiap rakyat haruslah sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian mereka. Dengan adanya pengamal sikap-sikap murni dalam diri masyarakat di Malaysia, hidup setiap masyarakat rakyat pelbagai kaum akan sentiasa aman dan harmoni.

 

       Kita perlu belajar dan mengajar mengenai nilai tolak ansur dan saling menghormati kepelbagaian agama, budaya dan amalan hidup dalam kalangan anak seawal usia mereka lagi. Kita secara bersama memainkan peranan tanpa prasangka.

 

Peribahasa:

 

"Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat" - Kata sepakat yang diperoleh dalam sesuatu perbincangan.

 


 

BERSUSAH-SUSAH DAHULU...

 

Banyak masa dan tenaga yang perlu anda korbankan demi menggenggam satu kejayaan. Sebagai pelajar, apatah lagi dalam umur anda yang sedang meningkat naik, tentu sekali keseronokan dunia dan hiburan mendapat tempat utama dalam diri. Nah, disinilah mengajar anda untuk bersusah - susah dan berkorban!

 

      Sebaiknya anda perlu memperuntukkan masa sekurang-kurangnya 3 jam sehari untuk belajar. Selain itu anda perlu juga menyiapkan kerja sekolah, ke kelas tambahan atau ke kelas mengaji. Memang padat jadual yang perlu diisi oleh seorang pelajar seperti anda. Tetapi itulah pengorbanan untuk anda berjaya!

 

        Anda perlu bijak menguruskan masa anda! Bukan kami memaksa anda menghadap buku sepanjang hari tanpa henti. Sebagai anak muda yang sedang membesar, badan anda masih memerlukan rehat yang cukup. Anda masih boleh menonton televisyen dan melayan rancangan-rancangan kesukaan anda. Tetapi anda perlu sedar batasnya! Anda perlu ada kekuatan dalam diri untuk berhenti atau tidak meneruskan melakukan aktiviti kegemaran kerana anda tahu anda perlu memilih untuk belajar pula. Ya, memang bukan mudah untuk melakukan semua itu. Tetapi anda perlu mempunyai kekuatan untuk memilih.

 

     Bukan mudah untuk mencapai kejayaan. Seperti yang kami tekankan tadi, banyak pengorbanan perlu dilakukan. Memang benar anda keletihan sepanjang hari. Apa tidaknya separuh hari anda dihabiskan disekolah, apa lagi jika perlu menghadiri kelas tambahan atau kegiatan kokurikulum disekolah. Tetapi itu semua bukan alasan untuk anda bersikap malas! Adakah anda mahu kecemerlangan menjadi milik anda?

 

      Kadang-kala anda terpaksa berkorban untuk tidak mengikut keluarga anda keluar membeli-belah, atau ke    kenduri, atau pulang ke kampung. Memang sedih ditinggalkan tetapi masa yang ada itu bolehlah di isi dengan mengulangkaji pelajaran. Semua ini adalah untuk kebaikan anda. Suatu hari nanti apabila anda telah berjaya dan mencapai impian, kala itu barulah anda dapat faham segala kesusahan dan pengorbanan anda dulu telah membuahkan hasil. Samalah seperti nilai kemerdekaan yang kita sedang nikmati sekarang. Berakit-rakit kehulu, berenang- renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian!

 

      

 

 

HORMATI DAN SAYANGI IBU BAPA

 

Segala jasa dan pengorbanan yang ibu bapa curahkan sejak kita kecil sehingga besar adalah tidak ternilai. Malah, jika difikirkan, sebelum kita dilahirkan lagi ibu bapa telah bertungkus lumus mencari rezeki untuk memastikan kita dapat membesar dengan sihat dan selesa setelah dilahirkan.

 

        Pernahkah anda semua mengukur atau membilang berapa banyakkah pengorbanan kedua ibu dan bapa anda? Dari awal kelahiran kita sehinggalah sekarang, kita dijaga dan dibelai sepenuh jiwa. Semasa bayi, kita langsung tidak boleh berdikari - semuanya terpaksa dilakukan oleh kedua ibu dan bapa. Ibulah yang menyusukan kita, memandikan, memakaikan pakaian, menidurkan, dan sebagainya. Kadang-kadang pada waktu malam kita tidak dapat tidur kerana perut meragam, kembung dan sebagainya - siapa yang menjaga kita? Itu semasa kita bayi.

 

         Bagaimana pula apabila kita semakin membesar? Banyak kerenah kita yang perlu ibu dan bapa kita layani. Kita juga kadang kala mempunyai sifat degil, suka meminta-minta, suka membentak dan sebagainya. Namun begitu, walau bagaimana sekalipun sikap kita, ibu dan bapa kita selalu sahaja berkorban melakukan sesuatu untuk kita. Jadi, hormatilah dan ingatlah segala pengorbanan yang ibu bapa kita lakukan selagi mereka masih ada di alam ini.  

 

     Oleh sebab itu, seorang anak wajib menghormati, mentaati dan berbuat baik terhadap ibu bapa. Ia merupakan penghormatan tertinggi daripada anak dalam membalas jasa ibu bapa mereka. Tahukah anda, amalan menghormati dan berbuat baik kepada ibu bapa merupakan suatu perkara yang perlu dilakukan secara berterusan. Kasihi, hormati dan bantulah mereka semasa mereka masih hidup serta doakan mereka setelah mereka meninggal dunia.


 

 

 

BUDI BAHASA AMALAN MULIA

 

Kita sedia maklum bahawa sebagai masyarakat timur, amalan budi bahasa merupakan satu amalan yang menjadi budaya masyarakat kita sejak dahulu lagi. Malah kita telah diasuh sejak dari kecil lagi supaya sentiasa bersopan santun dan berbudi bahasa dalam menjalani kehidupan seharian.

 

     Hormat orang tua, memberi salam sebagai pembuka kata, membantu orang yang memerlukan pertolongan, ucapan terima kasih atau maaf di mana perlu, merendah diri dan berbagai-bagai lagi, merupakan nasihat yang tidak asing bagi kita.

 
     Amalan berbudi bahasa merupakan warisan bangsa dan setiap institusi termasuk keluarga, guru dan para pelajar sendiri bertanggungjawab untuk mendidik diri dan setiap ahli keluarga mengenai perkara-perkara asas budi bahasa seperti cara bertutur yang sopan, saling bertegur sapa, jujur, amanah, berdisiplin, bersyukur dan sebagainya, agar menjadi manusia yang berperibadi mulia.

 
      Walau bagaimanapun, dalam zaman serba baru dengan kecanggihan teknologi dan era globalisasi, kita tidak boleh menafikan bahawa tempias budaya asing yang kian menular terutamanya melalui media elektronik sedikit sebanyak menjejaskan kemurnian budaya budi bahasa dalam masyarakat kita.  Kehidupan cara moden disertai dengan cabaran dalam dunia tanpa sempadan, telah sedikit sebanyak menghakis budaya tradisi yang bersopan santun, bertata susila dan hormat menghormati yang telah diamalkan turun temurun.

 

      Buktikan kepada semua bahawa kita hebat dan dikenali kerana budi bahasa yang tinggi!

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

  

Log masuk ke Rakan Kuntum



Belum jadi Rakan Kuntum?

Penjagaan Diri

Pengiklanan