Alam Sekitar

Sampah Oh Sampah..Surprised

 

Image 8

 

Penghasilan sampah di Malaysia pada masa kini direkodkan lebih kurang sebanyak 30 tan sehari dan dijangka akan meningkat menjadi 33 tan sehari, sepanjang tahun 2016 ini. Angka yang dijangka hanya akan berlaku pada tahun 2020 telah berlaku lebih awal dari jangkaan, iaitu empat tahun lebih awal! Antara punca dan kesan berlakunya keadaan ini adalah seperti berikut:

 

  • Kita tidak mengamalkan sikap kitar semula seperti yang diamalkan di negara-negara lain. Kita semakin banyak membazir sehingga menyebabkan peningkatan jumlah sampah.
  • Jumlah sampah yang dikitar semula ketika ini masih ditahap rendah iaitu 10 peratus. Di bandar besar seperti Selangor dan Kuala Lumpur, purata sampah yang dihasilkan oleh seorang individu mencecah 1.2 kilogram sehari (sepatutnya 0.8 kilogram sehari) dan ia dijangka meningkat sebanyak 3.59 peratus setiap tahun.
  • Pembuangan sampah tidak diurus dengan baik dan penumpukan sampah atau membuangnya sembarangan ke kawasan terbuka akan mengakibatkan pencemaran tanah yang, akhirnya masuk ke saluran air tanah.
  • Pembakaran sampah pula mengakibatkan pencemaran udara, manakala pembuangan sampah ke sungai akan mengakibatkan pencemaran air, tersumbatnya saliran dan banjir.
  • Selain pencemaran, masalah sampah ini menjejaskan sektor pelancongan dan kesihatan rakyat. Sebagai negara yang menuju ke arah negara maju, pengurusan sampah mestilah berada pada tahap yang terbaik.
  • Pengurangan sisa yang dihasilkan di Malaysia melibatkan usaha bersama pengguna, industri dan kerajaan, demi mengurangkan kesan buruk kepada alam sekitar. Ingatlah, ini sahaja dunia yang kita ada untuk didiami. Masa depan di tangan anda!

 

 

---------------------------------------------

Lindungi Terumbu Karang Kita

 Image 7

Terumbu karang ialah rangkaian batuan yang terletak di permukaan laut atau berhampiran dengannya. Rangkaian batuan ini dibentuk oleh polip dan alga kalkarea. Berjuta-juta polip yang sudah mati dimendapkan di dasar lautan serta 'disimen' oleh alga kalkarea. Dalam tempoh yang sangat lama, bahan ini menjadi keras dan membentuk terumbu karang.

 

Kedudukan terumbu karang yang luas terletak di laut tropika, di antara garis lintang 30 darjah utara selatan. Terumbu karang di Malaysia terdapat di perairan Terengganu serta pantai barat Sabah. 

 

Fakta Tentang Terumbu Karang

-------------------------------------

1- Terumbu karang adalah benda hidup! 

Walaupun mungkin kelihatan seperti batu-bata atau tumbuh-tumbuhan, karang adalah sebenarnya haiwan hidup. Ia membentuk 'membran' hidup unik yang menutup batuan.

 

2- Terumbu karang sangat peka kepada persekitaran

Karang boleh mati akibat pertukaran dalam suhu, kemasinan air dan bahan pencemar.

 

3- Terumbu karang dan habitatnya membekalkan lebih 50% makanan laut

Lebih 3000 spesies marin tinggal dalam terumbu di lautan negara kita. Dan daripada kawasan pemeliharaan inilah datangnya lebih separuh keseluruhan bekalan makanan laut kita.

 

 4- Penemuan sebagai penawar penyakit

Ubat untuk rawatan kanser dan penyakit jantung telah ditemui dalam sebatian bioaktif yang dikeluarkan dalam karang, namun ia masih lagi dalam kajian. Karang juga digunakan sebagai ganti untuk tulang manusia dalam pembedahan ortopedik.

 

 

Etika Semasa Berada Di Kawasan Terumbu Karang 

---------------------------------------------------------

Jika anda berenang, bersnorkel, berskuba atau melakukan selam bebas:

1- Jangan berdiri di atas terumbu karang

Jangan berjalan atau berdiri di atas terumbu karang kerana ini boleh membunuh polip karang yang hidup. Jangan menyentuh, mengutip atau memegang hidupan terumbu karang.

 

 2- Dilarang melabuhkan sauh

Jika tiada boya penambat, gunakan sauh pasir untuk berlabuh dan letakkan jauh daripada pembentukan terumbu karang, serta dari tempat anda mahu menyelam.

 

3- Tidak dibenarkan menyentuh hidupan karang

Menyentuh karang untuk melihat rupa bentuknya boleh menyebabkan kematian koloni secara menyeluruh. Minyak daripada kulit anda boleh mengganggu membran halus yang berlendir, yang melindungi karang daripada penyakit.

 

4- Jangan mengganggu hidupan karang

Haiwan karang mudah tertekan. Sebarang sentuhan atau gangguan boleh menganggu pemakanan dan pengawanan.

 

5- Elakkan daripada membuang sampah

Membuang sampah membahayakan hidupan laut dan merosakkan keindahan semula jadi karang. Buang sampah ke dalam tong sampah atau bawa pulang sampah anda!

 

 Sumber: Jabatan Taman Laut Malaysia

 

---------------------------------------------------------------

Gempa Bumi: Ancaman Terburuk

 

Gempa bumi seperti taufan, bukan hanya satu tenaga yang besar tetapi masih menjadi misteri bagaimana untuk meramal dan menduganya. Bagi memahami tahap kerosakan yang berkaitan dengan gempa bumi, kita perlu melihat gempa yang berlaku sebelumnya.

 

    Jika kita lihat kembali pada 27 Julai 1976 di Tangshan, China, satu gempa bumi besar telah berlaku yang menyebabkan 255 000 orang terkorban. Dalam tragedi berkenaan, dianggarkan 690 000 orang cedera dan ribuan bangunan hilang dalam sekelip mata. Skala kemusnahan sukar digambarkan tetapi semua skala gempa bumi terus berlaku sepanjang masa.

 

    Apakah yang menyebabkan gempa bumi? Lapisan luar bumi diperbuat daripada lapisan nipis yang terbahagi kepada beberapa bahagian atau plat tektonik. Hujung setiap plat tektonik adalah sempadan yang akan bergesel antara satu dengan yang lain dan dalam tempoh masa tertentu, tekanan yang bertambah ini akan menyebabkan gegaran atau gempa bumi. 

 

      Kekuatan gempa bumi diukur menggunakan mesin yang disebut seismograf. Mesin ini merekodkan gegaran dan saintis boleh mendapatkan ukuran kuasa gempa dalam skala Ritcher.

 

      Skala ini adalah dalam bentuk nombor 1 hingga 10, dengan nombor 1 adalah gempa bumi kecil yang biasa berlaku setiap hari, yang biasanya manusia tidak merasainya. Manakala nombor 7 hingga 10 pula menunjukkan gempa bumi paling kuat yang berlaku dalam masa 10 hingga 20 tahun.

 

(Sumber Maklumat: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI)

 

-------------------------------------------------

Sungai di Malaysia

Image 3

 

Sungai bukan sahaja berfungsi sebagai saluran air, malah ia juga sebagai sumber air bersih, sumber tenaga, sumber makanan, pengangkutan, kawasan rekreasi dan sebagainya. Oleh itu program pemuliharaan perlu dilaksanakan secara berterusan.

    Proses globalisasi telah membawa kepada pembangunan yang pesat sehingga menyebabkan masalah pencemaran sungai, kesan daripada aktiviti yang dilakukan oleh manusia seperti pembangunan tanah, perindustrian, pertanian, perlombongan dan pembalakan serta loji rawatan kumbahan.

    Untuk memastikan sungai dalam kualiti yang terbaik, pengkelasan sungai telah diwujudkan.Pengkelasan sungai di negara ini adalah seperti berikut:

 Kelas 1 : Airnya boleh terus diminum tanpa rawatan

 Kelas 2 : Airnya memerlukan rawatan biasa

 Kelas 3 : Air nampak bersih, tidak berbau, tetapi kualitinya tercemar dan orang ramai tidak boleh berenang tetapi boleh berkelah di tebing
 
 Kelas 4 : Tercemar

 Kelas 5 : Hampir mati

    Bagi Kelas 4 dan 5, keadaan air antara lain berbau busuk dan berwarna hitam. Situasi semasa di Malaysia menunjukkan bilangan sungai yang berada dalam kategori Kelas 1 dan Kelas 2 semakin berkurangan, tetapi yang dikategorikan dalam Kelas 4 dan Kelas 5 semakin meningkat. Perkembangan ini selaras dengan pembangunan pesat yang dialami oleh negara, selain pemikiran masyarakat yang masih rendah dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar.

    Pada tahun 2007 pula, Sebanyak 16 batang sungai di negara ini dikategorikan sebagai tercemar dan 'hampir mati'. Lokasi kebanyakan sungai tersebut sungai tersebut berada di Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor. Wow, banyaknya sungai tercemar!

    Jadi, apa kata mulai hari ini, kita sama-sama menjaga sungai yang ada di negara kita dan elakkan daripada mencemarinya dengan membuang sampah-sarap dan sebagainya, kerana jika kita tidak memeliharanya, satu hari nanti kita juga yang akan susah apabila bekalan air berkurangan!

-------------------------------------------------

Selamatkan Hutan Paya Bakau!!


Hutan paya pakau merupakan salah satu jenis hutan yang terdapat di Malaysia. Ia tempat tinggal untuk hampir 60 spesis tumbuh-tumbuhan antaranya seperti Api-api (Avicenna), Bakau (Rhizophora), Perepat (Sonneratia) dan Tumu (Bruguiera).

 

     Hutan paya bakau merupakan sempadan di antara lautan dan daratan, kerana ombak dan arus pasang surut mendedahkan daratan kepada bahaya hakisan. Justeru itu, paya bakau berupakan benteng yang menahan daratan daripada terus habis dihakis oleh ombak laut.

 

      Paya bakau juga merupakan zon penampan kepada ribut, kerosakan harta benda, dan kehilangan nyawa akibat bencana semula jadi seperti tsunami. Kawasan-kawasan yang telah ditebang hutan bakau, selalunya terdedah kepada ancaman ribut dan juga pemendakan yang teruk.

 

 Mengapa Paya Bakau Penting?

 

1. Tempat untuk pembiakan beberapa spesies seperti ikan, ketam, udang dan kerang kerana haiwan-haiwan ini bertelur, menetas dan membesar di kawasan paya bakau sebelum kembali ke lautan.

 

2. Vegetasi hutan paya bakau dapat menstabilkan pesisiran pantai, tebing sungai dengan memberi perlindungan daripada arus pasang surut, ombak dan ribut.

 

3. Hutan paya bakau bukan sahaja melindungi daripada hakisan tanah tetapi juga mengumpul semula tanah yang terhakis dari laut. Apabila ombak menolak tanah atau lumpur ke daratan, sistem akar unik paya bakau akan mengumpul tanah berkenaan daripada terus hanyut semula dibawa air laut.

 

4. Hutan paya bakau juga dikomersialkan terutamanya di kawasan Asia Tenggara. Pokok kayu bakau dijadikan bahan untuk pembinaan, kayu api dan juga kayu arang.

 

5. Turut menjadi tempat persinggahan burung yang berhijrah dari Hemisfera Selatan ke Hemisfera Utara.

 


Paya Bakau Diancaman Kemusnahan

Hutan paya bakau kini merupakan habitat yang paling terancam dan mula lenyap pada kadar yang tinggi. Di Thailand, setengah hutan paya bakaunya lenyap semenjak 1960. Di Filipina pula, keluasan paya bakau telah menurun daripada 448 000 hektar pada tahun 1920 kepada 110 000 hektar pada tahun 1990.

 

      Di Equador pula, dianggarkan 20% hingga 50% hutan bakau telah lenyap disebabkan oleh kegiatan manusia. Tidak mustahil jika pada satu hari nanti, hutan paya bakau akan pupus sepenuhnya dari muka bumi jika manusia masih tidak mahu memelihara salah satu anugerah alam ini.

 

 

 -------------------------------------------------

Ketahui Tentang Sistem Pembetungan Di Malaysia

 

                   

 

Anda tahu apa itu pembetungan? Rata-rata, kita pasti menggambarkan proses rawatan sisa kumbahan apabila ditanya tentang sistem pembetungan. Namun apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan 'sistem pembetungan' di Malaysia?

 

   Sistem pembetungan ialah proses untuk mengumpul, menghantar, merawat air sisa kumbahan, dan menyelenggara sistem pembetungan dan tangki septik. Di Malaysia, perkhidmatan pembetungan terbahagi kepada dua jenis, iaitu:

 

(a) sistem pembetungan bersambung terus ke loji rawatan kumbahan awam

 

(b) tangki septik individu

 

Sistem pembetungan yang bersambung ke loji rawatan kumbahan awam merupakan perkhidmatan yang menyambungkan saluran paip pembetungan di rumah kita, ke loji rawatan kumbahan awam. Tahukah anda, Indah Water Konsortium (IWK) diberi tanggungjawab untuk menjalankan operasi dan penyelenggaraan loji rawatan kumbahan awam.

 

    IWK bertanggungjawab untuk melakukan kerja-kerja pembaikan, jika terdapat masalah pada saluran paip pembetungan awam, seperti tersumbat atau rosak tanpa mengenakan kos terhadap pengguna. Walau bagaimanapun, pemilik premis perlu bertanggungjawab untuk membaiki kerosakan atau tersumbat, jika masalah berlaku pada saluran paip pembetungan persendirian.

 

    Bagi tangki septik individu pula, ia merupakan perkhidmatan pembetungan yang teringkas. Sisa kumbahan akan dialirkan ke tangki septik dan tidak menjalani rawatan sepenuhnya, tetapi hanya akan terenap di dasar tangki septik. Justeru, tangki septik perlu dilakukan pengenyah enap cemar, sekurang-kurangnya dua tahun sekali, bagi memastikan tangki septik individu itu dapat berfungsi dengan cekap.

 

Kenapa Sistem Pembetungan Penting?
----------------------------------------------------------------------------

 

Sesetengah tempat di Malaysia tidak mempunyai sistem pembetungan. Oleh itu, sisa pembetung masuk atau meresap ke dalam saliran kita. Sistem pembetung yang tidak dirawat akan menyebarkan organisma yang 'patogenik' atau menyebabkan penyakit serta mencemarkan sungai-sungai kita.

 

     Sungai yang tercemar akan menyebarkan wabak dan menjangkiti hidupan air seperti ikan, siput, kerang, udang dan sebagainya. Ini secara tidak langsung akan mencemarkan alam sekitar kita. Ekosistem sungai juga akan mati. Sungai yang mati akan mengeluarkan bau yang busuk, pemandangan yang kotor, berbahaya pada kesihatan dan menyebabkan sebarang jenis tumbuhan dan haiwan tidak dapat hidup.

 

Sumber: www.konsumerkini.net.

Log masuk ke Rakan Kuntum



Belum jadi Rakan Kuntum?