Tanya Kaunselor Kay!

SOALAN :

Puteri Rosima bt Rushdan
Kakak Kaunselor, saya murid tahun 5 dan akan menghadapi peperiksaan UPSR pada tahun hadapan. Baru-baru ini saya telah gagal dalam mata pelajaran Matematik dan hanya lulus bagi mata pelajaran yang lain. Saya tidak yakin untuk menghadapi UPSR. Bolehkah Kakak Kaunselor menolong saya?

Jawapan

Adik Puteri Rosima, Aqilah Balqis, dan Sarjeet Kaur jangan sesekali berputus asa disebabkan kegagalan adik yang lalu. Sekali gagal tidak bermakna adik gagal buat selama-lamanya. Jadikan kegagalan adik-adik sebagai titik permulaan untuk adik menebus kegagalan, dan seterusnya mencipta kejayaan yang lebih cemerlang.

  • Untuk berjaya dalam semua mata pelajaran, adik perlu fokus terhadap pengajaran guru, tidak membuat sesuatu sambil lewa sahaja. Perlu bersungguh-sungguh dalam membuat latihan yang diberikan oleh guru adik-adik.
  • Selalulah bertanya kepada guru sekiranya ada perkara-perkara yang tidak adik fahami. Untuk lulus cemerlang dalam mata pelajaran matematik dan mata pelajaran yang lain, adik perlu banyak membuat latihan dan latihtubi. Dapatkan bimbingan daripada guru atau rakan-rakan yang lebih mahir dalam mata pelajaran tersebut. Buangkan sifat malu dan rendah diri dalam menimba ilmu pengetahuan.
  • Selain itu, adik-adik perlu menyediakan jadual belajar agar masa adik dapat diuruskan dengan bijak. Kegagalan adik menguruskan masa menyebabkan adik gagal membahagikan masa dengan riadah, pengurusan diri, dan waktu belajar. Jika ini berlaku, adik-adik sukar untuk membahagikan masa untuk mengulang kaji dan membuat kerja rumah yang dibekalkan oleh guru.
  • Suka Kakak Kaunselor mengingatkan adik-adik jangan sesekali ponteng sekolah, walaupun adik menghadapi tekanan belajar di sekolah kecuali adik sakit. Perbuatan ponteng sekolah akan merugikan diri sendiri kerana adik akan ketinggalan kemahiran yang diajar oleh guru. Jika kemahiran itu diuji dalam peperiksaan, alangkah ruginya adik-adik.
  • Kegagalan adik-adik dalam mata pelajaran sudah tentu akan mengecewakan ibu bapa adik-adik. Jangan sesekali berkecil hati dengan teguran mereka. Mereka inginkan adik-adik berjaya dan menjadi orang berguna pada masa hadapan. Teguran mereka membuktikan kasih sayang mereka kepada adik-adik. Adik perlu membalas jasa mereka dengan belajar bersungguh-sungguh dan mendengar nasihat mereka.
  • Selain itu, adik perlu rajin membaca buku untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan pengalaman. Membaca akan menjadikan pemikiran kita bernas dan boleh berfikir secara kreatif dan kritis. Cara ini boleh membantu adik menjawab peperiksaan dengan penuh keyakinan.

SOALAN :

Takut Gagal Dalam UPSR
  1. Saya berada di Tahun 6 dan bakal menduduki peperiksaan UPSR pada tahun ini. Saya rasa gementar dan tidak berkeyakinan untuk menghadapinya kerana belum bersedia, sedangkan saya sudahpun belajar dengan tekun. Apakah yang perlu saya lakukan lagi? - Nurul Najwa binti Ahmad, Batu Berendam, Melaka
  2. Dalam Peperiksaan Akhir Tahun 2011 yang lalu, keputusan saya tidak memuaskan. Saya bimbang akan gagal dalam peperiksaan pada tahun ini. Bagaimanakah cara saya mengatasinya? - Chua Yen Yen, Kuantan, Pahang
  3. Saya sangat sedih kerana tahun ini saya ditukarkan ke kelas yang agak tercorot kerana pencapaian yang merosot pada tahun lalu. Tolonglah saya Kaunselor Kay! - Priya a/p Letchumanan, Butterworth, Pulau Pinang

Jawapan

Buat Adik Nurul, Yen Yen dan Priya yang tiada keyakinan diri kerana tidak cemerlang dalam pelajaran, saya harap adik-adik tidak mudah putus asa. Semua orang boleh berjaya, sekiranya rajin berusaha dan memberi tumpuan kepada pengajaran guru. Adik-adik belum terlambat untuk berubah. Mulakan usaha dari sekarang.

  • Buat jadual pengurusan diri dan masa bagi memastikan masa adik boleh digunakan dengan sebaik-baiknya. Minta bantuan daripada guru atau ibu bapa adik untuk membuat jadual pengurusan diri yang betul. Rancang waktu belajar dan mengulang kaji kemahiran yang tidak difahami. Adik-adik juga boleh membuat kerja sekolah secara berkumpulan.
  • Pencapaian yang tidak begitu baik dalam peperiksaan boleh dibaiki dengan usaha yang gigih. Saya percaya adik-adik boleh memperbaiki semua kelemahan seperti kata perpatah 'Hendak Seribu Daya Tak Hendak Seribu Dalih'.
  • Jangan bersedih dengan pertukaran kelas, sebaliknya jadikan ia satu pengajaran untuk adik-adik belajar dengan lebih bersungguh-sungguh untuk dimasukkan ke kelas cemerlang. Sikap yang positif akan menentukan usaha adik sendiri. Orang lain tidak boleh mengubah diri adik, kecuali diri adik sendiri.

SOALAN :

Malu Kerana Gemuk
  1. Saya mempunyai masalah berat badan sejak kecil. Saya selalu diejek oleh kawan-kawan kerana kegemukan saya. Saya sedang belajar di tahun 5. Saya malu untuk ke sekolah.Tolonglah saya. - Nurnadirah bt Mohd Naim, Pekan Pahang
  2. Saya mempunyai tabiat makan yang sukar dikawal. Saya akan makan dalam kuantiti yang banyak dan cepat terasa lapar, tetapi saya tidak mahu menjadi gemuk. Tolong beri saya nasihat. - Murugan a/l Mutusamy, Jasin, Melaka

Jawapan

Adik Nurnadirah dan Murugan, pertama sekali adik mesti mengamalkan pengambilan permakanan yang seimbang. Elakkan memakan makanan ringan dan makanan segera secara berlebihan. Makanan seperti ini kurang berkhasiat dan mengandungi kandungan kolestrol yang tinggi.

  • Patuhi jadual makan agar adik tidak cepat berasa lapar dan mengambil makanan secara berlebihan. Elakkan mengambil makanan semasa menonton televisyen atau melayari Internet. Amalan ini akan menyebabkan adik makan tanpa kawalan kerana kerana kelekaan melakukan aktiviti lain.
  • Selain itu, adik-adik mestilah selalu melakukan senanam dan aktiviti fizikal seperti berjoging, berbasikal, berenang, dan aktiviti sukan permainan yang adik gemari. Amalan bersenam dan bersukan bukan sahaja menyihatkan tapi mampu membantu melepaskan tekanan.
  • Jangan berasa malu kerana 'gemuk'. Adik-adik perlu mempunyai keyakinan diri untuk mengawal berat badan adik. Bacalah bahan-bahan yang berkaitan dengan penjagaan kesihatan.Pasti adik temui petua-petua kesihatan yang berharga.

SOALAN :

Konflik di Kantin
  1. Kakak Kaunselor, ketika waktu rehat, kawan saya sering meminta makanan yang saya bawa dari rumah. Saya selalu lapar kerana tidak cukup makan. - Adila Najwa Afif
  2. Ketika beratur di kantin untuk membeli makanan, saya sering ditolak dan kadang kala makanan yang saya bawa terjatuh. Saya sedih dengan kejadian yang menimpa saya. - Lutfi Aimar Radzi
  3. Kakak Kaunselor, saya sering makan seorang di kantin sebab kawan-kawan saya di kelas yang sama dulu telah ditukarkan ke kelas yang lain. Masa rehat kami sudah berlainan. Bantulah saya. - Vivian Tan

Jawapan

Kita sudah memasuki bulan kedua tahun 2019 iaitu bulan Februari. Makanya, sepanjang bulan Januari, kita telah menyesuaikan diri dengan keadaan suasana persekolahan yang sedikit berbeza. Namun, sebagai pelajar yang hebat, kita harus biasakan dengan apa jua keadaan sekalipun.

 

Adik Adila Najwa,

 

Berkongsi amalan mulia, Adik boleh memberitahu ibu adik akan hal kawan adik dan meminta izin untuk ibu menyediakan makanan yang lebih untuk kawan adik tadi. Manalah tahu, suatu hari nanti ketika adik dilanda musibah, ada tangan lain yang sudi membantu.

 

Adik Lutfi Aimar,

 

Keadaan ini tidak dapat dielakkan ketika kita sedang bersesak di kantin untuk membeli makanan. Jika kejadian ini sering berlaku lagi, segera laporkan pada pengawas yang bertugas. Sentiasa berhati-hati dalam pergerakan dan cuba jauhkan diri dari kelompok yang ramai.

 

Adik Vivian Tan,

 

Cuba cari kawan baharu yang sama waktu rehat. Mulakan perbualan dengan bertegur sapa dan sekiranya ada respon yang baik, teruskan berkenalan. Sesi persekolahan akan lebih seronok jika kita mempunyai ramai kawan. Pelbagai cerita boleh dikongsi begitu juga berbincang mengenai subjek dalam kelas.  

 

Semoga cabaran yang kita hadapi di sekolah boleh kita tangani dengan cara yang betul. Adik-adik perlu bijak mengatur langkah agar terus menjadi pelajar yang cemerlang. Ujian pasti ada dalam pelbagai sudut namun ia bukan penghalang utama untuk kita maju terus ke hadapan. Jumpa lagi!

SOALAN :

Katakan Tidak Pada Buli
  1. Hai Kakak Kaunselor, saya ingin bertanya kepada kakak, apa perlu saya buat jika ternampak kawan saya membuli di sekolah? - Afnan Zahir, Muar, Johor
  2. Kakak Kaunselor, rakan dari kelas lain sering meminta wang daripada saya, saya takut jika tidak memberikan kepadanya? Bantulah saya. - Imran Hakim Hakimi, Shah Alam, Selangor
  3. Saya pelajar baru di sekolah saya. Ketika di kantin, selepas membeli air, saya ke meja untuk duduk minum, tetapi kawan saya telah menarik kerusi saya sehingga saya jatuh. Saya sangat sedih. - Muhammad Hadif, Bandar Baru Bangi, Selangor

Jawapan

      Hai adik-adik pembaca majalah Kuntum. Salam sejahtera dan didoakan semoga adik-adik dalam keadaan yang baik dan dilindungi. Kejadian buli sering berlaku tidak kira di mana kita berada.

 

Adik Afnan,

      Sekiranya adik ternampak situasi sebegitu, beredar dari situ. Jangan dekati mereka yang sedang dan dibuli. Segera beritahu guru bertugas untuk membantu mereka. Sebagai pelajar yang bijak, elakkan situasi yang berbahaya. Jika boleh, elakkan diri daripada orang yang akan menimbulkan masalah atau situasi yang memberi si pembuli peluang untuk mengganggu kita. 

 

Adik Imran,

      Situasi adik Imran perlu dibanteras. Jangan sesekali berikan wang kepada mereka yang meminta secara paksaan. Elakkan diri daripada duduk bersendirian. Adik digalakkan untuk berada dalam kumpulan. Keadaan ini dapat mengurangkan gangguan. 

 

Adik Hadif,

      Kakak sedih dengan kejadian yang menimpa adik. Adik perlu memberitahu guru disiplin akan perkara yang berlaku. Jangan biarkan mereka terus membuat perkara tersebut kepada rakan-rakan sekolah yang lain.

 

    Faktor pemilihan kawan yang tepat memainkan peranan yang penting. Kawan adalah cermin kita. Jika kita silap memilih kawan, rosaklah kita. Kerana itulah, ibu bapa mesti mengenalpasti dengan siapa anak-anak mereka berkawan.

 

      Sebagai ibu bapa, jadikan kawan-kawan anak kita sebagai kawan kita. Anak-anak suka apabila kita menghormati kawan-kawan mereka. Mereka merasakan yang ibu bapa faham apa kehendak mereka. Jika tidak sesuai atau kita kurang senang dengan kawan anak kita ini, bolehlah kita berkomunikasi dengan lembut dengan anak-anak supaya mereka boleh faham niat teguran tadi. Semoga bermanfaat!