Tanya Kaunselor Kay!

SOALAN :

Lemah Bahasa Inggeris
Saya seorang murid tahun enam. Saya mempunyai masalah sukar memahami mata pelajaran Bahasa Inggeris, akibatnya saya tidak berminat dalam mata pelajaran ini. Apakah cara untuk saya meningkatkan prestasi saya dalam mata pelajaran ini? - Loh Sok May, Perak

Jawapan

Sebagaimana adik-adik semua tahu Bahasa Inggeris merupakan bahasa antarabangsa dan amat penting dalam kehidupan adik pada masa akan datang. Di sini saya ingin memberikan pendapat dan cadangan kepada adik-adik yang bermasalah dalam penguasaan Bahasa Inggeris.

  1. Saya ingin mencadangkan agar adik-adik tidak malu untuk bertutur dalam bahasa ini. Adik-adik disarankan bertutur dalam bahasa ini dengan guru-guru dan rakan-rakan yang lebih mahir, agar mereka dapat membetulkan sekiranya terdapat kesalahan dalam penggunaan kosa kata dan sebutan adik-adik.
  2. Buangkan rasa rendah diri dan tanamkan keyakinan diri apabila hendak memulakan pertuturan dalam bahasa ini. Adik-adik perlu ingat semua kejayaan bermula dengan kesilapan. Tidak ada salahnya melakukan kesilapan asalkan kita bangkit dan berazam untuk membetulkan kesilapan itu.
  3. Selalulah merujuk kamus untuk mengetahui makna dan penggunaan bahasa yang tepat. Rajinlah bertanya guru sekiranya terdapat perkataan dan sebutan yang kurang difahami.
  4. Bagi  yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman pula, janganlah berasa rendah diri. Ramai pelajar dari luar bandar berjaya mendapat pangkat A dalam matapelajaran ini dengan bimbingan guru dan usaha yang tidak mengenal jemu. Banyakkan membaca bahan bacaan Bahasa Inggeris untuk memantapkan kemahiran berbahasa adik-adik.
  5. Untuk permulaan saya mencadangkan adik-adik boleh memilih bahan bacaan ringan dwibahasa seperti Majalah KUNTUM! dan  majalah ringan berbahasa Inggeris yang lain. Bahan-bahan bacaan ringan ini mudah difahami dan mempunyai isi kandungan  yang mampu menarik minat adik-adik untuk membaca.
  6. Bagi adik-adik yang akan menghadapi peperiksaan UPSR pula, selalulah membuat ulang kaji dan latihan secara latih tubi. Cara ini akan mengukuhkan pemahaman adik-adik terhadap bentuk soalan yang bakal dihadapi dalam UPSR nanti. Bertanya guru sekiranya adik mempunyai masalah dan keraguan semasa membuat latihan dan menjawab soalan.


Janganlah berasa rendah diri kerana adik-adik boleh bertutur di sekolah bersama guru-guru dan rakan-rakan. Gunakan waktu persekolahan  untuk memantapkan penguasaan dalam bahasa ini. Adik-adik juga boleh menjalinkan persahabatan dengan lain-lain bangsa agar dapat meningkatkan penguasaan dalam bahasa ini.