Tanya Kaunselor Kay!

SOALAN :

Urus masa
Bagaimana caranya untuk saya menguruskan masa dengan lebih baik supaya saya cemerlang dalam pelajaran? - Ahmad Wafiyuddin bin Ahmad Zawawi, Melaka

Jawapan

Pepatah ada mengatakan 'masa itu emas', tetapi sebenarnya masa itu lebih berharga daripada emas kerana masa yang berlalu tidak akan kembali lagi. Masa sangat berharga, oleh itu kita mestilah menguruskannya dengan bijak.

 

  • Anda harus menyediakan jadual waktu peribadi. Jadual waktu ini dapat memberi panduan dalam merancang dan menguruskan masa anda, selain dapat mengelakkan masa dibazirkan begitu sahaja. Selain itu juga, jadual waktu  peribadi membantu kita menguruskan diri secara lebih bertanggungjawab. Tapi ingat, anda harus berdisiplin dan patuh mengikut jadual ditetapkan. Tiada gunanya menyediakan jadual jika tidak dipatuhi!

 

  • Anda harus mengelak daripada membuat kerja rumah yang dibekalkan oleh guru pada saat-saat akhir. Ini menyebabkan anda terpaksa mengambil masa sehingga lewat malam untuk menyiapkannya. Akibatnya, anda terpaksa  tidur lewat dan akan mengantuk di dalam kelas. Ini sudah pasti akan menjejaskan tumpuan anda terhadap pelajaran.

 

  • Anda harus bijak menggunakan masa senggang, contohnya, sekiranya anda mengikuti aktiviti luar waktu persekolahan, bermula jam 4.30 petang. Anda boleh menggunakan waktu sebelum bermulanya aktiviti itu untuk menyiapkan kerja rumah. Cara ini dapat menjimatkan masa anda pada sebelah malam.

 

  • Seterusnya, jangan mengambil masa yang terlalu lama dengan aktiviti yang melekakan seperti menonton televisyen, melayari Internet, atau bermain permainan video.

 

  • Seperkara lagi, peruntukkan masa untuk bersenam dan beriadah. Ini kerana senaman dapat menyihatkan badan. Otak yang cerdas datangnya daripada badan yang cergas, dan badan yang sihat akan membuatkan anda rasa lebih bertenaga dan bersemangat untuk menghadapi pembelajaran di dalam kelas.

 

OK, semoga kita jumpa lagi...